Hari ini dalam sejarah

2 April 2008

Pagi itu aku tak tahu kenapa aku rasa bersemangat bangun awal. Kebiasaannya, selepas subuh pasti mata minta pejam lagi. Tapi pagi itu, aku rasa sungguh segar. Semangat berkobar-kobar untuk habiskan saki-baki minggu terakhir kuliah. Hari itu hari rabu, sememangnya tiada kelas pada hari rabu. Aku bercadang untuk menyiapkan laporan projek tahun akhir aku kerana minggu seterusnya sudah perlu dihantar kepada penyeliaku.

Mungkin juga kerna salah satu killer project kami semester itu telah tamat secara rasmi dengan presentation kami sehari sebelumnya, maka aku berasa amat lega dan gembira. Selain dari Projek Tahun Akhir, Peperiksaan Akhir dan satu ujian-2 subjek kejuruteaan kayu hari sabtu berikutnya, yang tinggal hanya presentation projek kejuruteraan kayu yang akan diaadakan esok. Persediaan untuk presentation itu sudah okay, maka aku tidak risau lagi.

Tapi seperti biasa, jika bangun pagi-pagi seperti itu, pastinya aku lebih suka mengemas bilik dan mengurus perkara-perkara remeh lain sebelum fokus pada pelajaran. Jadinya, dari selepas solat subuh, aku dengan bersemangatnya mencuci pakaian, mengemas dan mengemop bilik. Terdetik tika itu, bersemangat sungguh aku bersihkan bilik, bagai tiada masa lain untuk kemas lagi. Aku usai mengemas kira-kira jam 8 pagi. Puas hatiku, bolehlah aku belajar tanpa mempedulikan kekemasan bilik lagi untuk beberapa hari..haha.

Tiba-tiba, telifonku berbunyi. Hairan kenapa tiba-tiba orang rumahku menelifon pagi-pagi. Bila ku jawap, sebaris ayat keluar dari mak “Intan, balik rumah. Bapa kau dah meninggal.”

Aku kaget. Otak berusaha mencerna apa yang diperkata mak sebentar tadi. Hati masih tidak percaya. Dalam diri berkata, adakah aku bermimpi. Dalam kekalutan, otak warasku mengarah aku menemui rakan sekelasku, wawa, berharap teman itu boleh menolong menghantar aku balik ke rumah. Aku tahu pagi-pagi begitu pasti rakan-rakanku masih tidur kerana kebiasaan pelajar universiti akan berjaga hingga pagi. Dan jangkaanku tepat bila aku pergi ke bilik wawa, dia memang tengah tidur. Dalam mamai dan terkejut mendengar berita yang aku tuturkan, dia setuju menghantar aku balik ke rumah.

Aku segera balik semula ke bilikku. Tindakan refleks mengarah aku mengemas pakaian & keperluan yang hendak dibawa ke rumah. Pastinya aku terpaksa tinggal dirumah lebih kurang seminggu. Patutlah aku bersemangat mengemas bilik, rupanya akan ditinggalkan lama. Dalam masa aku berkemas, datang sahabat baikku aza. Dia serumah dengan wawa. Aku lihat dia sudah menangis, pastinya dia mendengar berita itu dari wawa. Baikknya seorang sahabat, dia menangis terlebih dahulu dariku. Dan dia terus memelukku, memberi kata-kata semangat agar aku bersabar dengan musibah ini. Aku masih lagi tenang, otak masih lagi tidak percaya pada apa yang berlaku. Aku berharap sampai di rumah nanti sebenarnya tiada apa yang berlaku.

Dalam perjalanan balik, aku duduk di belakang membaca Al-Matsurat dan surah Yassin. Wawa & Aza menemanku balik. Aku tak tahu dari mana datang kekuatan untuk terus bertahan. Namun hatiku luluh juga ketika membaca ayat-ayat suci-Nya. Sejenak aku teresak-esak menangis. Aku sempat melihat reaksi aza & wawa yang terkejut mendengarku tiba-tiba menangis. Kemudian aku dapat mengawal diri kembali, meneruskan pembacaan ayat suci dalam tangis yang perlahan.

Ketika sampai dirumah, apa yang aku inginkan tidak berlaku. Ternyata apa yang berlaku adalah realiti. Dari dalam kereta aku sudah melihat beberapa buah kereta sudah bersusun diperkarangan rumah. Jiran-jiran sudah berkumpul di dalam dan sekitar rumah. Ada yang sibuk menyiap persiapan. Di kereta, aku terasa berat untuk keluar. Lambat langkahku untuk melangkah ke rumah. Namun aku terpaksa kuatkan diri. Tika sampai di pintu rumah, aku sudah melihat jiran-jiran sibuk menyedia kapas dan kain kafan. Aku dimaklum yang jenazah bapa ada di dalam salah sebuah bilik, tengah disedia untuk dimandikan. Sanak saudara telah ramai yang datang. Dan aku, aku hanya melihat sebentar jenazah bapa. Tidak sempat untukku bersedih, kerana persiapan pengkebumian memerlukan tindakkan ahli keluarga. Aku membantu menyedia dan mencari apa yang patut. Menangis sebentar dan kemudian menyambung melayan tetamu yang datang.

Kata mak, malam sebelumnya bapa batuk agak teruk. Badannya sudah sejuk. Tapi mak tak terfikir bukan-bukan. Dan kerna bapa memang sudah lama menghidap batuk, maka hanya dibiar berehat. Bapa ada pergi ke klinik beberapa hari sebelumnya, tapi seperti biasa hanya diberi ubat batuk biasa. Pagi itu, bapa bangun pagi, sempat berjalan sendiri ke dapur untuk minum air, dan di dapur itulah dia rebah dan terus menghembus nafas terakhir. Di rumah pagi itu cuma ada mak dan abangku yang paling tua. Mak yang lihat bapa rebah selepas mendengar bunyi sesuatu jatuh terus memanggil-manggil abang yang masih tidur di tingkat bawah. Abang urut-urut belakang bapa, tetapi Allah lebih sayangkan dia.

Bapa dimandikan kira-kira jam 10 pagi, dikafan & disolatkan. Kerana menunggu abang & kakak yang berkerja di Johor balik, dan menunggu kedatangan keluarga Mak Ngah dari Pusa, Sri Aman…ayah disemadi kira-kira jam 4 petang. Abang yang balik dari Johor nampak benar kesan menangis, begitu juga kakak. Air mataku juga mengalir beberapa ketika. Subhanallah, aku tak tahu dari mana aku dapat kekuatan untuk setabah itu. Sehari-harian aku terus menbaca Yassin tika tiada apa yang perlu diuruskan.

Ramai rakan sekelasku datang hari itu. Kawan-kawan juga ramai. Aku masih mampu tersenyum melayan mereka. Aku juga tidak tahu kenapa. Adakah kerana aku memang tiada perasaan. Mengikut ilmu kedoktoran, terdapat 5 simptom pabila seseorang menghadapi musibah. Penafian, kemarahan, depresi, tolak-ansur & penerimaan. Aku tak tahu sama ada aku di dalam frasa penerimaan atau penafian. Hari-hari yang berlalu sepanjang setahun ini, aku masih mampu ceria dan berfikir rasional. Aku masih boleh duduk ujian-2 subjek kejurutearaan kayu pada hari ke-6 pemergiannya dan mendapat keputusan yang baik. Aku balik semula ke asrama beberapa hari sebelum minggu peperiksaan bermula. Duduk peperiksaan dan menyiapkan projek tahun akhir seperti tiada apa yang berlaku.

Namun ada ketika aku menangis sendiri bila mengenangkan bapa. Mengenang hakikat bahawa aku tak sempat memohon maaf buat kali terakhir. Hakikat bahawa aku tak tahu adakah di akhir hayat bapa, dia meredhai aku sebagai anaknya atau tidak. Hakikat bahawa kami adik beradik tidak berada di sisi bapa pada akhir nafasnya. Aku memang bukan anak yang baik, banyak dosa aku pada bapa. Bapa yang begitu baik pada kami yang hanya kebiasaanya merungut pada perangai kami, aku tak tahu jika masih ada rasa sakit hati nya atas salahku yang belum dia maafkan. Malah hakikat bahawa kali terakhir aku jumpa bapa ialah beberapa bulan sebelum nafas terakhinya. Teruk betul anakmu ini. Sibuk sangat dengan hal sendiri.

Aku ingat lagi, dalam sebulan dua sebelum dia pergi, dia selalu saja ingin pergi jenguk aku di UNIMAS, hendak menghantar makanan padaku. Namun aku melarang niatnya mengenangkan dia yang sudah tua dan sering batuk-batuk hendak menunggang motosikal dari rumah ke unimas. Itu bukan jarak yang dekat, kira-kira sejam perjalanan. Aku pula, kerana masalah pengangkutan dan beban assignment dan projek, maka jarang benar aku balik ke rumah. Agaknya bapa sudah merasa dia akan pergi tak lama lagi, kerna itu dia berdegil juga menjengukku di Unimas.

Setahun ini, bagai tiada apa yang berubah. Tapi hakikatnya, its never be the same again. Tiada lagi tempat ku bergantung untuk diminta menghantar ke sana ke sini jika perlu. Kurang sepasang tangan untuk disalam dan diminta maaf di pagi raya. Tiada lagi yang sibuk membawa lauk dari surau di pagi raya, tiada juga yang sibuk membelah lemang. Rutin bertukar dengan menziarah pusara dan membaca Yassin. Perancangan bercuti ke Kuala Lumpur bersama keluarga makcikku tidak kesampaian. Malah, hajat melihat aku memakai jubah konvo & topi segi empat juga tidak kesampaian.

Dua minggu selepas pemergian bapa, aku sudah kembali ke Unimas. Ada suatu pagi dalam minggu itu, selepas aku pergi berbincang dengan penyelia projek tahun akhir dan dalam perjalanan balik ke asrama, aku lihat ada beberapa miss call dari rumah. Hatiku takut lagi, kenapa orang rumahku menelifon aku lagi pagi-pagi. Dalam hatiku berharap tiada apa yang berlaku. Sungguh tidak sanggup jika kehilangan satu lagi, aku tak mungkin mampu bertahan. Alhamdulillah,mak yang menalifon mengenai urusan pencen bapa. Pernah juga sekali, selepas beberapa bulan pemergian bapa, ketika di dalam bas hendak ke pasar, aku lihat kelibat sebuah motosikal seperti motosikal bapa. Tersentak aku menoleh, tapi pastinya itu bukan motorsikal dia. Aku istifar banyak-banyak. Kenyataan tetap kenyataan, dia telah tiada di dunia ini lagi.

Luluh hatiku yang sayu
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih zahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya

Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rindu mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu
Biarpun kuredah seluruh dunia
Mencari gantimu

Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanya sekadar tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang
melindungkan kalimah rahsia

Masih kubiarkan waktu
Melarikan lafaz kasihku padamu
Mengapakah sukar menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar tingkah
Cumalah ungkapan bisu kalimah rahsia

Apakah yang hilang andai dilisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan tutur kata

Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan

Related Posts with Thumbnails
  • 29 Comments

  • Your email is never shared.
    Required fields are marked *