Lelongan pertama Rasulullah
Anaz bin Malik meriwayatkan bahawa seorang lelaki daripada kaum Ansar datang menghadap Rasulullah s.a.w. dan meminta sesuatu kepada baginda. Rasulullah s.a.w. bertanya,
“Adakah kamu mempunyai sesuatu di rumahmu?”
“Ada, ya Rasulullah!” jawapnya,
“Saya mempunyai sehelai kain tebal, yang sebahagian kami gunakan untuk selimut dan sebahagian kami jadikan alas tidur. Selain itu saya juga mempunyai sebuah mangkuk besar yang kami gunakan untuk minum.”
“Bawalah ke mari kedua barang itu,” sambung Rasulullah s.a.w. Lelaki itu membawa barang miliknya dan menyerahkannya kepada Rasulullah. Setelah barang diterima, Rasulullah s.a.w. segera melelongnya. Kepada para sahabat yang hadir pada saat itu, baginda menawarkan pada siapa yang mahu membeli. Salah seorang sahabat menawarkan kedua barang itu dengan harga satu dirham. Tetapi Rasulullah menawarkan lagi, barangkali ada yang sanggup membeli lebih daripada satu dirham.
“Dua atau tiga dirham?” tanya Rasulullah kepada para hadirin sampai dua kali. Inilah lelong pertama kali yang dilakukan Rasulullah.Tiba-tiba salah seorang sahabat menyahut, “Saya beli keduanya dengan harga dua dirham.” Rasulullah menyerahkan kedua barang itu kepada si pembeli dan menerima wangnya. Wang itu lalu diserahkan kepada lelaki Ansar tersebut, seraya berkata, “Belikan satu dirham untuk keperluanmu dan satu dirham lagi belikan sebilah kapak dan engkau kembali lagi ke sini.” Tidak lama kemudian orang tersebut kembali menemui Rasulullah dengan membawa sebilah kapak. Rasulullah s.a.w. melengkapi kapak itu dengan membuatkan hulunya terlebih dahulu, lantas bersabda, “Pergilah engkau cari kayu api, lalu kayu itu kamu jual di pasar, dan jangan menemui aku sampai dua bulan.”Lelaki itu taat melaksanakan perintah Rasulullah.
Setelah dua bulan berlalu dia menemui Rasulullah dan melaporkan hasil kerjanya. Lelaki itu menuturkan bahawa selama dua minggu ia berjaya mengumpulkan wang sepuluh dirham setelah sebahagian dibelikan makanan dan pakaian. Mendengar petuturan lelaki Ansar itu, Rasulullah bersabda, “Pekerjaanmu ini lebih baik bagimu daripada kamu datang sebagai pengemis, yang akan membuat cacat di wajahmu kelak pada hari kiamat.”
(Dipetik dari Mohammad Nidzam Abdul Kadir, 2007. Soal Jawab remeh-temeh tentang Muamalat. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd)








