Mungkinkah Ramadan Terakhir?

Assalamualaikum semua.

Wahai sekalian manusia. Telah datang kepada kamu Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang difardhukan ke atas kamu oleh Allah ‘Azza wa Jalla puasanya. Di bulan itu pintu Syurga dibuka, pintu neraka Jahim ditutup dan para Syaitan dirantai. Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang terlepas peluang meraih rahmat ini, maka sesungguhnya dia itu hakikatnya diharamkan dari rahmat Allah. [Hadith riwayat al-Nasaai]

“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil)” [al-Baqarah, 2:185]

Alhamdulillah, tahun ni sekali lagi bertemu bulan yang mulia, bulan Ramadan. Bulan yang disediakan Yang Maha Esa untuk hamba-hambanya. Bulan dimana segala amalan dilipat ganda, bulan dimana kita bebas dari godaan syaitan, juga  bulan dimana peluang memperbaiki diri terbuka luas. Subhanallah, besarnya rahmat bulan Ramadan hingga setiap detik Ramadan ingin diisi sebaiknya.

Tapi…mungkinkah ini Ramadan terakhir?

Beberapa minggu lepas ketika mendengar berita pemergian Ustaz Asri (Rabbani), aku terfikir sejenak…tak sempat ustaz meraikan Ramadan kali ini. Kematian datang tanpa diduga, tanpa kita tahu bila masa perjanjian kita akan tiba. Malah tahun ini banyak berita kematian mengejut yang kita terima: Micheal Jackson, Yasmin Ahmad. Dengan menularnya virus H1N1, di Malaysia sahaja telah mengorbankan lebih 60 nyawa. Malah arwah ayah aku juga pergi mengejut tanpa sempat aku menemani dia menghembus nafas terakhir. Tika itu, tidak terfikir yang mereka takkan menyambut Ramadhan bersama kita lagi. Al-Fatihah.

Selain Ustaz Asri, banyak juga tokoh dalam dunia dakwah telah dijemput Ilahi. Bermula dari pemergian Ahmad Deedat pada 8 Ogos 2005; kemudian Fathi Yakan, penulis buku ‘Apa ertinya saya menganut Islam’ (Maza Yakni) yang menjadi rujukan asas usrah dijemput Yang Esa pada 13 Jun 2009. Dan tokoh dakwah tempatan yang kukenali, Ustaz Awang Pon dijemput Ilahi pada 17 Julai 2009. Bukankah salah satu tanda-tanda kecil kiamat ialah semakin berkurangnya ilmuan agama? Nauzubillah min zalik.

Tapi itu hakikat…bila-bila masa ajal mungkin datang menjemput. Dan Ramadan kali ini mungkin yang terakhir…

Maka masihkah engkau mahu mensia-siakan peluang pesta ibadah ini?*

—||—||—-

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah…
Dengan rahmatMu oh Tuhanku…
Ku tempuh jua

—||—||—

Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Allah berfirman: setiap amal anak adam adalah untuk anak adam itu sendiri melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu bagiKu dan Aku membalasi puasanya itu” (Sahih Muslim)

Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan kotor (lucah). Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa [riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068]

Jika Nabi Ibrahim diperintah mengorbankan satu-satunya anak baginda bagi membuktikan keimanan, kita hanya diperintah berpuasa sebulan…namun kadang-kadang kita sendiri selalu lupa…

Kepada semua sahabat-sahabat dan pembaca sekalian, selamat beribadah.  Maafkan diri ini jika pernah terkasar bahasa, tersilap tingkah, terguris perasaan. Semoga semua amalan kita diterima di sisi-Nya.

Nota: Sebahagian terjemahan hadis diambil dari artikel SaifulIslam.com.

*soalan untuk diri aku sendiri…..

Related Posts with Thumbnails
  • 13 Comments